Potensi Pelaburan dan Kerjasama dari Qatar Tourism

Menjunjung titah Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor. Insya-Allah, visi dan hasrat Tuanku untuk terus membangunkan negeri dan rakyat Johor akan dilaksanakan sehabis baik.

Syukur Alhamdulillah. Saya bersama delegasi Kerajaan Negeri Johor telah selamat tiba di Qatar bagi mengadakan lawatan kerja selama dua hari. Lawatan kerja dimulakan dengan mengadakan pertemuan bersama His Excellency Saad Bin Ali Al Kharji, Pengerusi Pelancongan Qatar dan Pengerusi Lembaga Pengarah Visit Qatar.

Pertemuan ini membuka ruang untuk meneroka kerjasama strategik dalam pembangunan produk pelancongan yang mampu memberi impak besar kepada ekonomi Johor dan Qatar termasuklah pelaburan dalam infrastruktur pelancongan, hotel bertaraf antarabangsa, serta pertukaran kepakaran dalam sektor pelancongan yang kini menjadi salah satu teras utama ekonomi negeri Johor.

Qatar Tourism telah berjaya membina destinasi-destinasi ikonik seperti Muzium Seni Islam dan Qatar National Museum yang menjadi tarikan utama. Kerajaan Negeri yakin dengan potensi dan kekayaan yang dimiliki Johor dalam aspek sejarah, budaya, dan alam semula jadi seperti kepulauan di Mersing, keindahan pantai Desaru dan taman-taman negara di Johor, negeri ini mampu mencontohi kejayaan Qatar dalam mencipta produk pelancongan bertaraf dunia.

Dengan potensi pelaburan dan kerjasama dari Qatar Tourism, saya yakin Johor dapat memperkukuh sektor pelancongannya dan meningkatkan daya saing Johor sebagai destinasi pelancongan global, selain membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi negeri.

Seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang tahun 2030, segala usaha yang dijalankan ini akan memastikan Johor berada di peta pelancongan dunia, menawarkan pengalaman yang unik dan bertaraf antarabangsa kepada para pelancong.

Semoga dengan sokongan semua pihak, segala usaha yang dijalankan ini akan meletakkan Johor di peta pelancongan dunia. Insya-Allah, kita akan menyaksikan Johor diangkat sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa menjelang tahun 2030.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor