Projek Naik Taraf Terminal Larkin Sentral
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan melawat projek naik taraf Terminal Larkin Sentral, hab pengangkutan utama Johor Bahru yang sedang melalui proses penambahbaikan bagi mempertingkat kemudahan untuk ribuan pengguna harian.
Fasa pertama projek bernilai RM2.5 juta ini telah disiapkan sepenuhnya melibatkan kerja-kerja menaik taraf kawasan “drop-off” berbumbung, laluan pejalan kaki, pagar keselamatan baharu, laluan bas, serta tandas lelaki yang kini lebih selesa dan mesra pengguna. Malah, kiosk digital turut disediakan untuk pembelian tiket dan penukaran boarding pass, bagi memudahkan dan mempercepatkan urusan penumpang.
Kini, fasa kedua sedang giat dilaksanakan, merangkumi naik taraf tandas perempuan, pembinaan Bas Lounge berhawa dingin yang lebih selesa, serta penaiktarafan Balai Berlepas Singapura dengan sistem paparan digital perjalanan bas. Apabila siap sepenuhnya hujung tahun ini, projek ini diharap akan menjadikan Terminal Larkin Sentral lebih teratur, bersih dan selesa untuk pengguna.
Selain berfungsi sebagai terminal pengangkutan, Larkin Sentral turut dirancang untuk dinaik taraf sebagai medan selera rintis dalam usaha menyeluruh Kerajaan Negeri menangani kos sara hidup rakyat serta memperkasa peniaga tempatan. Inisiatif ini akan menjadikan kawasan Larkin bukan sekadar pusat transit, tetapi juga tumpuan baharu aktiviti ekonomi rakyat yang inklusif, moden dan mampan.
Kerajaan Negeri komited untuk memperkasa sistem pengangkutan awam yang selamat dan mampan. Setiap penambahbaikan yang dilaksanakan bukan sekadar menaik taraf infrastruktur, tetapi memastikan rakyat Johor menikmati kemudahan yang lebih moden, efisien dan inklusif. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




