Program Jelajah Orang Johor (JOJ) Parit Raja

Syukur Alhamdulillah. Program Jelajah Orang Johor (JOJ) diteruskan ke DUN Parit Raja dengan penampilan khas legenda rock tanah air, Datuk Amy Search yang juga anak kelahiran Johor.

Jelajah saya dimulakan dengan Kuliah Jemaah dan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf di Masjid Riyadhus Solihin. Seterusnya, saya meninjau tapak pembinaan Klinik Kesihatan Parit Raja, sebuah inisiatif penting bagi menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih selesa dan berdaya tahan untuk rakyat. Klinik ini dijangka siap pada September 2028.

Saya juga sempat ke Kampung Sri Dalam, menyantuni pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan termasuk pengusaha bahulu, dodol dan kerepek. Dari dapur kecil di rumah, mereka menghasilkan produk berkualiti tinggi yang berpotensi besar. Kerajaan Negeri menerusi PUJB akan terus membimbing dan menyokong usaha seperti ini agar mampu menembusi pasaran lebih luas, termasuk secara digital dan antarabangsa.

Dalam waktu yang ada, saya juga berkesempatan menziarahi seorang anak muda yang terlibat dalam kemalangan hingga menjejaskan peluangnya menduduki SPM. Alhamdulillah, Kerajaan Negeri melalui MAINJ dan JKM telah menyalurkan bantuan rawatan, manakala pihak JPNJ akan membantu memastikan beliau masih dapat menduduki SPM tahun ini.

Kemudian, saya singgah ke Kenduri Rakyat dan beramah mesra bersama lebih 1,000 penduduk Parit Raja yang hadir sejak pagi. Pelbagai agensi seperti KEMAS, Jabatan Pertanian, Jabatan Veterinar, LPNM, YPKDT dan lain-lain turut hadir menjayakan pameran serta aktiviti komuniti.

Sebelah petang pula, saya ke Karnival Aspirasi Orang Muda Johor yang menampilkan pelbagai aktiviti belia dari autoshow, pertandingan futsal, kick boxing hingga e-Sports. Kemeriahan yang luar biasa ini menggambarkan bakat, minat dan semangat luar biasa anak muda Johor. Saya turut diberi taklimat berkenaan projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang bakal menyediakan 1,090 unit kediaman.

Di samping itu, saya mendengar pembentangan penyelesaian jangka panjang bagi masalah banjir di Sri Gading, satu langkah penting untuk kesejahteraan penduduk. Oleh itu, bagi mengurangkan risiko banjir yang berlaku di kawasan ini, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak:

1. RM 3 juta bagi kerja penyelenggaraan Sungai Senggarang sepanjang 20km; dan

2. RM 500 ribu bagi pembinaan rumah pam dan pam kekal hidraulik di Parit Bengkok.

JOJ @ DUN Parit Raja kali ini penuh warna, penuh makna. Program Jelajah Orang Johor ini akan diteruskan di seluruh DUN bagi memastikan suara rakyat sentiasa didengari dan diangkat dalam setiap dasar pembangunan negeri. Terima kasih warga Parit Raja! Semoga segala usaha ini terus membawa manfaat dan memperkukuh kehidupan masyarakat. Jumpa lagi di JOJ seterusnya!

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor