Skills Johor Berperanan Sebagai Pemacu Kepada Penyelarasan Dasar Pembangunan Modal Insan Dan Keperluan Industri
Syukur Alhamdulillah. Saya berkesempatan meninjau sendiri kemajuan pembinaan Skills Johor di Kota Tinggi yang kini telah mencapai 98.5% kemajuan fizikal. Ini adalah antara mercu tanda penting dalam komitmen Johor untuk membina ekosistem pendidikan teknikal dan vokasional yang bersepadu dan masa hadapan.
Dengan kos pembangunan keseluruhan sebanyak RM107 juta dan mampu menampung kapasiti sehingga 6,000 pelajar pada satu-satu masa, projek ini dibangunkan tanpa melibatkan sebarang perbelanjaan Kerajaan Negeri, hasil pemerkasaan model kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta. Walaupun terkesan oleh cabaran pandemik, namun tetap berjaya disiapkan dengan baik.
Skills Johor ini akan diletakkan di bawah penyelarasan Johor Talent Development Council (JTDC), yang berperanan sebagai pemacu kepada penyelarasan dasar pembangunan modal insan dan keperluan industri. JTDC memastikan pembangunan bakat Johor disepadukan dengan keperluan sebenar pasaran kerja yang sedang berkembang pesat di bawah pelaksanaan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ).
JTDC juga sedang giat memperkukuh jaringan kerjasama bersama pelabur dan industri, terutamanya yang beroperasi dalam zon strategik JS-SEZ. Dengan wujudnya hab kemahiran seperti ini, kita bukan sahaja menyediakan tenaga kerja berkemahiran, malah membuka jalan kepada lebih banyak pekerjaan bernilai tinggi yang menjanjikan gaji lumayan dan masa depan stabil untuk Orang Muda Johor.
Saya yakin usaha ini bukan sahaja akan menjadikan Johor sebagai destinasi pelaburan pilihan, tetapi turut membuka laluan mobiliti sosial yang inklusif untuk anak bangsanya melalui pendidikan kemahiran, latihan industri dan pembangunan bakat yang disasarkan. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor