Melancarkan Projek Locker4U 2025 dan Inisiatif Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP)
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan mengadakan lawatan walkabout bagi melancarkan Projek Locker4U 2025 dan Inisiatif Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) secara percuma kepada Bangsa Johor di Lotus Bukit Indah, Johor Bahru.
Inisiatif Perkhidmatan Ubat Melalui Pos (UMP) ini bertujuan untuk membekalkan ubat susulan kepada pesakit kronik yang stabil melalui penghantaran Pos Malaysia dengan caj RM6.00. Pesakit boleh mendaftar melalui aplikasi MyUbat atau di kaunter farmasi KKM untuk menerima manfaat ini.
Kerajaan Negeri sangat prihatin dalam usaha meningkatkan kualiti hidup dan tahap kesihatan Bangsa Johor. Justeru, sebanyak RM170 ribu telah diperuntukkan bagi Projek Locker4U yang melibatkan pemasangan 348 unit loker di enam lokasi utama, iaitu:
1. Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru – 78 buah loker di AEON Taman Universiti
2. Klinik Kesihatan Bukit Indah, PKD Johor Bahru – 54 buah loker di Lotus’s Bukit Indah
3. Klinik Kesihatan Majidee, PKD Johor Bahru – 54 buah loker di Paragon Marketplace
4. Klinik Kesihatan Taman Universiti, PKD Johor Bahru – 54 buah loker di Econsave Taman Teratai
5. Klinik Kesihatan Tebrau, PKD Johor Bahru – 54 buah loker di Pelangi Leisure Mall
6. Klinik Kesihatan Kulai, PKD Johor Bahru – 54 buah loker di Lotus’s Kulai
Setiap unit loker ini akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik untuk kemudahan orang ramai. Pegawai Farmasi akan meletakkan ubat susulan di dalam loker pada hari yang ditetapkan (Rabu atau Khamis), dan pesakit akan dimaklumkan melalui aplikasi MyUbat dengan kata kunci untuk mengambil ubat mereka. Sekiranya ubat tidak diambil dalam tempoh yang ditetapkan, ia akan diambil semula dan pesakit akan diberitahu melalui aplikasi.
Saya berharap inisiatif ini akan mempermudah akses kepada ubat susulan bagi Bangsa Johor, terutamanya bagi pesakit yang sibuk atau yang tinggal jauh dari fasiliti kesihatan. Semoga langkah ini dapat meningkatkan kecekapan dan keselamatan dalam pengambilan ubat, serta memberikan manfaat yang besar kepada kesihatan masyarakat Johor secara keseluruhan. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor