Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025
Syukur Alhamdulillah, saya berkesempatan hadir ke Sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025 yang disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru.
HPTN 2025 bertemakan “Mengorak Inovasi Masa Depan Demi Kemanusiaan”, menonjolkan peranan besar jurutera, arkitek, juruteknik, teknologis dan seluruh ekosistem teknikal dalam memacu kemajuan negara. Golongan ini penggerak perubahan yang memastikan infrastruktur Malaysia kekal moden, berdaya tahan dan bermanfaat untuk rakyat serta generasi akan datang.
Buat julung kalinya dianjurkan di Johor, HPTN 2025 tampil dengan pengisian komprehensif merangkumi Bicara Teknikal, lebih 100 booth Pameran Teknologi & Inovasi, Karnival Kerjaya, Business Matching serta Program STEM yang mempamerkan robotik dan dron berkuasa AI sebagai simbol inovasi masa depan.
Setinggi-tinggi penghargaan saya rakamkan kepada YB Dato’ Sri dan seluruh pasukan Kementerian Kerja Raya atas kelulusan 13 projek infrastruktur di bawah Rolling Plan Pertama RMK-13 yang akan memacu pembangunan Johor secara lebih terancang. Projek-projek ini meliputi penaiktarafan jalan, pembinaan kemudahan awam dan pengukuhan jaringan logistik yang akan membuka lebih banyak peluang ekonomi serta meningkatkan kualiti hidup Bangsa Johor secara menyeluruh.
Kerajaan Negeri akan terus komited memperkukuh pembangunan modal insan teknikal yang berkemahiran tinggi dan berdaya saing. Semoga HPTN 2025 menjadi pemangkin lahirnya generasi profesional yang mampu menerajui transformasi teknologi negara ini. Insya-Allah.
Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah
#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor




