Singgah di Klinik Parit Yusof dalam Perjalanan ke Muar
Klinik Parit Yusof bakal menerima peruntukan sebanyak RM800,000 bagi kerja-kerja menaiktaraf.
Projek menaiktaraf ini melibatkan bangunan utama yang merangkumi bahagian pesakit luar, unit kecemasan, dan farmasi. Selain itu, sebuah lagi bangunan yang akan dinaik taraf adalah bahagian ibu dan anak.
Klinik ini menerima kira-kira 120 hingga 150 pesakit setiap hari. Bangunannya yang dibina sejak tahun 1970-an kini dalam keadaan usang dan sempit.
Dengan peruntukan ini, bumbung akan diganti sepenuhnya serta ditinggikan, sistem pendawaian dan rangkaian telefon akan diperbaharui, dan kerja-kerja mengecat serta penyelenggaraan lain akan dilakukan.
Diharapkan selepas proses penambahbaikan ini, klinik akan tampil dengan wajah baharu dan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada penduduk setempat.
Pada masa ini, bangunan utama telah dikosongkan secara berperingkat. Bahagian pesakit luar dan unit kecemasan dipindahkan sementara ke bangunan belakang, manakala kawasan menunggu pesakit ditempatkan di bawah khemah buat sementara waktu. Bahagian ibu dan anak pula telah dipindahkan ke klinik desa berhampiran untuk meneruskan perkhidmatan mereka.
Saya telah meninjau operasi klinik sementara ini dan mendapati keadaan agak sesak, terutama di unit kecemasan dan kawasan menunggu pesakit. Saya telah berbincang dengan pihak berkaitan supaya lantai kawasan menunggu pesakit dapat diperkemas dengan platform yang lebih selesa dan selamat.
Kami berharap projek ini dapat dimulakan pada bulan April dan siap sepenuhnya pada Oktober tahun ini, agar penduduk setempat dapat menikmati persekitaran yang lebih selesa untuk mendapatkan rawatan.
Kepada penduduk setempat, kami memohon sedikit kesabaran dengan kesulitan sementara ini, demi masa depan yang lebih baik.