Sukan SEA Thailand 2025

Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas kepimpinan, iltizam dan sokongan berterusan dalam memartabatkan pembangunan sukan negeri Johor.

Syukur Alhamdulillah, Johor sekali lagi berjaya mengharumkan nama negara di pentas serantau menerusi pencapaian cemerlang pada Sukan SEA Thailand 2025.

Sepanjang temasya ini, atlet Johor telah menyumbangkan sebanyak 30 pingat kepada kontinjen Malaysia, merangkumi 7 pingat emas, 5 pingat perak dan 18 pingat gangsa. Lebih membanggakan, dua jurulatih dari persatuan sukan Johor turut diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sebagai Jurulatih Pasukan Kebangsaan bagi temasya kali ini.

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh atlet Johor, barisan jurulatih serta Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) selaku tonggak utama pengurusan dan pembangunan atlet negeri, yang telah bekerja keras memastikan persiapan rapi dan prestasi terbaik sepanjang kejohanan.

Kejayaan ini merupakan cerminan kematangan ekosistem sukan Johor yang dibangunkan secara strategik dan konsisten, selain membuktikan bahawa pelaburan dalam pembangunan bakat, penyediaan fasiliti berkualiti dan sokongan menyeluruh kepada para atlet akhirnya membuahkan hasil. 

Tahniah sekali lagi saya ucapkan. Semoga kejayaan ini terus menjadi pemangkin semangat kepada generasi muda Johor untuk menceburi bidang sukan secara serius, seterusnya melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi yang mampu mengharumkan nama Johor dan Malaysia di pentas dunia. Insya-Allah. 

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Kita Berserah

#BangsaJohor #MajuJohor #JohorBersih #JohorSelamat #XtifJohor