Tahniah buat 30 Koperasi Sekolah Terbaik Negeri Johor 2024

Tengah hari tadi saya berkesempatan menyempurnakan Perasmian Majlis Apresiasi Koperasi Sekolah Terbaik Negeri Johor bagi tahun 2024 anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan ANGKASA.

Alhamdulillah, daripada 281 koperasi sekolah yang wujud di seluruh Johor, sebanyak 30 terpilih sebagai Koperasi Terbaik di mana Koperasi Maktab Rendah Sains MARA MRSM Batu Pahat Berhad dinobat sebagai tempat pertama dengan jumlah pendapatan bernilai RM1.094 juta sepanjang tahun 2024.

Tahniah dan syabas buat semua yang berjaya, bagi yang tidak tersenarai, tahun ini lakukan yang terbaik, lakukan aktiviti perniagaan dengan usaha di luar kotak, supaya tahun hadapan dapat tersenarai dalam kelompok 30 koperasi sekolah terbaik, Insya-Allah.

Dalam ucapan saya mengajak semua koperator koperasi sekolah terdiri daripada kumpulan pendidik dan guru-guru untuk terus menerapkan pemikiran keusahawanan dan ingin terus memajukan koperasi kepada anggota-anggota yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan sekolah.

Saya juga turut berkongsikan peluang dengan wujudnya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kepada koperator yang boleh direbut jika keperluan mencukupi syarat dan kehendak. Justeru, persediaan dan “mindset” itu perlu dibentuk hari ini demi memastikan koperasi tidak ketinggalan dengan inisiatif yang dibawa kerajaan negeri Johor.

Saya amat yakin, bermula dari sekolah, gerakan koperasi ini dapat membina satu masyarakat yang melihat gerakan berkoperasi ini sebagai platform yang baik dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

Hadir sama, Pengarah SKM Negeri Johor; En Mahzan Noordin; Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, En Ali@ZainalAbidin Syed Mohamed; Timbalan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Selatan, Puan Adila Hashim; Pengerusi ANGKASA Negeri Johor, Tn Hj Sazali Abd Hamid dan Pengarah MARA Negeri Johor, Puan Rafida Abd Manan.

Allah Peliharakan Sultan
Allah Berkati Johor
Kepada Allah Berserah